Orang mukmin bagaimanalah hatinya hendak tenang dengan Tuhannya!
Apa yang dilihat, apa yang dirasa
Apa sahaja yang dimakan dan minum
Apa sahaja yang didengarnya, semuanya mengusik-ngusik jiwanya
Menyentuh perasaan dan hati nuraninya
Adakalanya kebesaran Tuhan dan keagungan-Nya yang dia rasa
Ada ketikanya sayu hatinya dan sedih mengenang dosa
Waktu-waktu tertentu rasa gerun dan hebat dengan Tuhannya
Ada masanya malu dengan Penciptanya
Di waktu-waktu tertentu terlalu hina dirinya dia merasa
Begitulah seterusnya berbagai-bagai rasa hatinya yang silih berganti di dalam hidupnya
Bertukar yang dilihat, bertukar apa yang disentuh dan yang dimakan dan yang diminum
Bertukar pula perasaannya terhadap Tuhannya
Orang mukmin yang jiwanya sentiasa hidup kerana mengingat Tuhannya
Dunia dan nikmatnya tidak dapat melalaikannya
Keindahan hidup tidak mempesonanya
Bahkan nikmat dan keindahan hidup itu makin mengingatkannya terhadap Tuhannya
Begitulah hati dan jiwa mukmin
Setiap yang dilihat, dirasa, dimakan dan diminum
Dia merasakan ayat-ayat Tuhannya
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi